FOTOGRAFI perkahwinan antara perkara paling penting dan wajib, malah tidak seharusnya dilupakan. Sama penting dengan hantaran dan pelamin, fotografi perlu berada dalam susunan persiapan perkahwinan utama.
Dijadikan kenangan, masyarakat dulu mengabadikan foto perkahwinan secara eksklusif dalam studio berlatarbelakangkan gambar tertentu, selain bergambar di pelamin dan bilik tidur. Namun, kini bagaikan satu evolusi baru dalam dunia fotografi perkahwinan, pengantin moden lebih gemar mengabdikan perkahwinan dengan penggambaran di luar lokasi majlis.
Di kenali sebagai ‘Outdoor Wedding Portraiture Shooting’, penggambaran luar lebih eksotik apabila ada pengantin memilih lokasi mencabar seperti di tepi pantai, sawah padi, dalam hutan dan menariknya di tengah kota raya.
Evolusi bidang fotografi perkahwinan semakin luas, malah perspektif semakin berkembang mengikut idea dan trend semasa. Gambar seperti aksi tegak di pelamin dan bilik tidur kurang menjadi perhatian sebaliknya gaya lebih spontan atau ‘candid’ menjadi pilihan terkini kerana pengantin berasakan ia memberi kesan terbaik dalam fotografi perkahwinan.
Spontan adalah teknik terkini yang lebih digemari pengantin dan jurugambar kerana ia nampak lebih semula jadi dan tidak dibuat-buat. Contohnya, gambar senyuman dan ketawa secara spontan lebih cantik daripada senyuman dipaksa.
Selari dengan kehendak dan penawaran daripada jurugambar profesional, pengantin moden lebih gemar bergambar di luar lokasi persandingan. Gaya penggambaran ‘Outdoor Wedding Portraiture Shooting’ sudah mula mendapat pendedahan kira-kira lima tahun lalu, malah menjadi semakin popular pada masa kini.
Berkongsi pandangan mengenai dunia penggambaran luar pengantin, jurugambar perkahwinan profesional, Mohd Subhi Karim, berkata konsep itu bermula daripada idea jurugambar di Barat. continue reading…
